Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul dan 12 Pesanan Nabi SAW

Salam Maulidur Rasul, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Perbanyakkanlah selawat ke atas nabi kita dan sentiasalah berusaha mengamalkan sunnahnya. 

Nabi Muhammad s.a.w. adalah guru yang sejati. Baginda bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga mendidik dan mentarbiah. Keutamaan baginya ialah umatnya. Beliau menghendaki supaya umatnya akan menjadi umat yang diredhai Allah, berjaya di dunia dan di akhirat dan berada di barisan hadapan dari umat-umat lain di padang mahsyar. Guru yang sejati tidak akan pernah putus asa menasihati murid-muridnya. Begitulah Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda tidak jemu menasihati umatnya. Tidak ada yang memberi manfaat kepada umatnya melainkan telah diceritanya dan tidak ada yang merugikan mereka melainkan baginda telah melarangnya. Di antara pesanan Nabi Muhammad s.a.w. ialah tentang empat perkara yang setiap satunya disebut pula tiga ciri;

Perkara pertamaal-Muhlikat, iaitu perkara-perkara yang memusnahkan.
Perkara keduaal-Munjiyat, iaitu perkara-perkara yang menyelamatkan.
Perkara ketiga; al-Kaffarat, iaitu perkara-perkara yang menghapus dosa.
Perkara keempat; ad-Darajat, iaitu perkara-perkara yang mengangkat darjat/martabat.

Nabi Muhammad s.a.w. melanjutkan sabdanya; "Ada pun tiga perkara yang memusnahkan ialah;
Pertama; Sifat bakhil yang ditaati.
Kedua; Hawa nafsu yang dipatuhi
Ketiga; Seorang itu berasa takjub dengan diri
sendiri…
".

Nabi Muhammad melanjutkan lagi sabdanya; "Adapun tiga perkara yang menyelamatkan ialah;
Pertama; Bersederhana ketika miskin dan ketika kaya.
Kedua; Berlaku adil ketika suka dan ketika marah.
Ketiga; Takut kepada Allah ketika bersendirian dan ketika bersama orang ramai
…".

Seterusnya, bagi tiga perkara yang menghapus dosa, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; "Adapun tiga perkara yang menghapuskan dosa;
Pertama; melangkahkan kaki untuk menunaikan solat berjamaah.
Kedua; menyempurnakan wudhuk sekalipun pada musim sejuk.
Ketiga; menunggu solat selepas solat"
.

Untuk pesanan terakhir, Nabi s.a.w. berkata; "Adapun tiga perkara yang mengangkat darjat ialah;
Pertama; bangun menunaikan solat malam pada saat orang lain sedang nyenyak tidur.
Kedua; memberi salam
Ketiga; memberi makan orang lain"
.

 Hadis yang memuatkan pesanan-pesanan ini diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani r.a. dari Abdullah bin ‘Umar r.a. (anak lelaki sahabat besar ‘Umar bin al-Khattab r.a.). Menurut Syeikh Nasiruddin al-Albani; hadis ini adalah hasan.

No comments:

Post a Comment